BALOTELLI (dua dari kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan.
AFP

PARIS: Mario Balotelli meledak dua gol apabila Nice menamatkan rekod 16 kemenangan berturut-turut AS Monaco dalam Ligue 1 dengan kemenangan besar 4-0 di Allianz Riviera, awal pagi tadi.

Gol awal Balotelli menerusi penalti meletakkan Nice di depan sebelum Alassane Plea menggandakan kedudukan pada minit ke-18.

Monaco cuba menekan lawan pada awal babak kedua namun Balotelli menjaringkan gol keduanya sekali gus menamatkan cabaran juara bertahan Perancis itu sebelum pemain remaja gantian Ignatius Ganago meledak gol keempat yang menggegarkan pelawat.

Ia persembahan mengagumkan Nice, yang berakhir di tangga ketiga musim lalu, selepas tewas tiga daripada empat aksi pertama liga sebelum rehat tugasan antarabangsa.

“Perlawanan ini hebat buat kami, ia membolehkan kami bangkit,” kata jurulatih Nice, Lucien Favre, selepas pasukannya mengulangi kemenangan 4-0 di laman sendiri ke atas Monaco 12 bulan lalu.

“Plea dan Balotelli bersama, ia bagus jika pemain di sekitar mereka juga bagus.

“Mario patut terbabit dalam menekan lawan. Dia melakukannya. Ia positif tapi amat diperlukan. Selepas itu, tiada kebimbangan mengenai keupayaannya menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 11:31 AM