EMAMI (dua dari kanan) gagal ujian doping tahun lalu.
Azlan Muhammad Zain
azlan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Juara bertahan dari Iran Pishgaman Cycling Team antara 20 pasukan yang diberikan lampu hijau bertanding pada Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) bulan depan.

Salah seorang pelumba pasukan benua dari Iran berkenaan, Rahim Emami yang menduduki tempat keempat keseluruhan dan menang satu peringkat perlumbaan, gagal ujian doping pada edisi tahun lalu.

“Mereka sudah dikenakan tindakan susulan insiden berkenaan dan dibenarkan bertanding. Jadi kami tidak mempunyai halangan untuk menjemput mereka kembali tahun ini.

“Malah mereka adalah antara tiga pasukan terbaik di Asia selain menghormati mereka sebagai juara bertahan serta sentiasa menyertai perlumbaan ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur JM2017, Datuk Nafizuddin Najib.

Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan perlumbaan yang menelan kos RM4.5 juta berkenaan tidak akan dibayangi isu kewangan seperti penganjuran lalu yang diuruskan pihak lain.

Secara keseluruhan 10 pasukan benua mengambil bahagian seperti Terengganu Cycling Team (TSG), KSPO (Korea Selatan), Aisan (Jepun) dan Infinite AIS (Singapura)disertai dua pasukan kebangsaan (Malaysia dan Brunei) selain lapan pasukan negeri dan kelab dengan menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM150,000.

“Pelumba seperti Mohd Harrif Saleh, Shahrul Mat Amin (TSG), Arvin Moazami Goudarzi (juara individu keseluruhan) dan Amir Kolahdouz Hagh (jersi Raja Bukit) dari Pishgaman antara yang akan hadir,” jelasnya.

Edisi ke-53 perlumbaan pada tahun ini diuruskan LifeProFit Sdn Bhd buat kali pertama, bakal mempertandingkan lima peringkat bermula di Selangor pada 3 Oktober sejauh 679.9 kilometer dan berakhir di Kedah pada 7 Oktober.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu dijangka memberikan saingan sengit apabila akan melakukan pendakian pada ketinggian 1217 meter (berstatus hors) menuju ke puncak Gunung Jerai pada peringkat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:44 AM
Skip this ad x