AFP

NEW YORK: Juan Martin Del Potro (gambar) menyatakan dia berhak mengalahkan Roger Federer pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat hari ini sekali gus menempah pertembungan separuh akhir pagi Sabtu ini menentang pilihan utama Rafael Nadal.

Del Potro, pilihan ke-24 dari Argentina, menundukkan juara 19 acara Grand Slam itu 7-5, 3-6, 7-6 (10/8), 6-4 di Stadium Arthur Ashe, gelanggang yang mana Federer mendominasi lawannya lebih sedekad.

“Saya fikir ia gelanggang saya juga,” kata Del Potro kepada penonton. “Anda membuatkan saya berasa gembira setiap kali saya bermain di sini dan saya sukakan sokongan anda.”

Del Potro berkata, dia berharap dapat mengulangi kemenangannya ke atas Nadal pada 2009 menjelang kemenangan epik lima set ke atas Federer bagi merangkul kejuaraan Grand Slam tunggalnya.

“Menentang Rafa, harapnya saya boleh mengulangi keputusan itu,” ujar Del Potro. “Saya sedar menentang Rafa penonton mungkin tidak menyebelahi saya tapi saya harap anda menyorak untuk saya sekali lagi.

“Dia pemain nombor satu dunia tapi dengan sokongan menakjubkan sebegini apa saja boleh berlaku.”

Federer, yang meluru ke bilik temu ramah selepas kekalahannya memuji Del Potro apabila berkata: “Juan Martin bertarung bagaikan seekor singa.

“Saya fikir dengan cara saya bermain sekarang ia tidak cukup untuk memenangi kejohanan ini. Lebih baik saya tersingkir dan orang lain memperoleh peluang untuk menang.”

Nadal, yang akan mengekalkan status pemain nombor satu dunia berikutan penyingkiran pilihan ketiga Federer, terdahulu mengalahkan pemain remaja Russia, Andrey Rublev 6-1, 6-2, 6-2 dalam tempoh 97 minit.

Satu lagi pertembungan separuh akhir mempertemukan pilihan ke-28 dari Afrika Selatan, Kevin Anderson dan pilihan ke-12 dari Sepanyol, Pablo Carreno-Busta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:10 PM