AFP

PARIS: Kylian Mbappe pasti mencuri tumpuan awal pagi Sabtu ini ketika liga Perancis bersambung selepas tugasan antarabangsa apabila Paris Saint-Germain berdepan Metz dan dijangka menampilkan bintang baru mereka itu.

Bintang berusia 18 tahun itu menyertai PSG secara pinjaman semusim dari kelab juara AS Monaco dalam perjanjian yang termasuk pilihan membeli Mbappe dengan harga sehingga 180 juta euro (RM905 juta), perpindahan kedua termahal dalam sejarah.

“Berasa hebat menyertai kelab ini, satu daripada yang terbaik di dunia,” kata Mbappe ketika diperkenalkan di Parc des Princes semalam.

Pemain kebangsaan Perancis itu dijangka melakukan penampilan sulung bersama PSG di laman lawan menentang kelab tangga tercorot Metz awal pagi Sabtu ini dengan pasukan kendalian Unai Emery memburu kemenangan kelima berturut-turut bagi mengekalkan permulaan sempurna mereka musim ini.

Metz satu-satunya pasukan tanpa sebarang mata dalam Ligue 1 musim ini dan tidak perlu diperkenalkan kepada Mbappe yang meledak hatrik menentang mereka ketika Monaco menang 5-0 Februari lalu.

Emery mengesahkan Mbappe sedia untuk diturunkan dan kecederaan dialami Angel Di Maria ketika tugasan Piala Dunia bersama Argentina mungkin memaksa pengendali berbangsa Sepanyol itu meletakkan pemain remaja itu di bahagian serangan di samping pemain termahal dunia Neymar dan Edinson Cavani.

“Pemain ini sudah menang hampir semuanya, ia satu pengalaman berharga,” kata Mbappe mengenai rakan sepasukan barunya. “Saya perlu banyak belajar dan perlu membuktikan sesuatu.”

Di Maria dijangka terlepas aksi beberapa minggu kerana kecederaan paha manakala pemain tengah Itali, Marco Verratti masih digantung perlawanan dan beberapa pemain PSG dari Amerika Selatan hanya dijangka pulang hari ini.

Monaco, sama mata dengan PSG di puncak carta, akan cuba mengekalkan rekod 16 kemenangan berturut-turut apabila bertandang ke Nice, yang mana penamat tangga ketiga musim lalu semakin pantas dilupakan.

Penyandang juara itu membeli dua pemain Serie A, penyerang Montenegro, Stevan Jovetic dan penyerang Senegal, Keita Balde dari Inter Milan dan Lazio dalam usaha cuba mengisi kekosongan ditinggalkan Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 11:09 AM