PENGURUS Pasukan memanah Paul Leong (belakang kiri) bersama Marzuki (belakang kanan) serta Yuhaizam (kiri) dan Ahmad Jafry Jamaludin.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TIGA pingat emas menjadi sasaran skuad memanah negara apabila turun menggalas cabaran di Sukan Para ASEAN pada pertengahan bulan ini.

Jurulatih paralimpik negara Marzuki Zakaria menjelaskan persembahan cemerlang anak buahnya dalam beberapa siri pertandingan di luar negara memberikan keyakinan kepadanya untuk meraih tiga daripada enam emas yang dipertandingkan.

“Kami mencatat beberapa keputusan baik dalam beberapa kejohanan di pentas antarabangsa tahun ini seperti di Dubai (satu emas), Thailand (tiga emas) dan Republik Czech (satu emas).

“Ia menunjukkan satu petanda baik. Jadi kami meletakkan sasaran tiga emas dengan dua emas menerusi acara campound dan satu emas menerusi recurve,” jelasnya.

Sandaran utama pastinya terarah kepada pemanah compound lelaki negara Yuzaiham Yahaya bagi mempertahankan emas individu terbuka.

“Kami dalam proses menyesuaikan diri dengan venue pertandingan di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil selain tumpuan mengelakkan sebarang kecederaan dan ketidakselesaan kerana pemanah negara menggunakan kerusi roda dalam keadaan cuaca panas,” ujarnya.

Secara keseluruhan memanah menghantar 10 atlet dengan enam lelaki dan empat wanita.

Di Singapura dua tahun lalu, skuad negara meraih satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 3:49 PM