FROOME (kanan) teruja dengan kelebihan 61 saat di depan Nibali. -Foto EPA
AFP

LOGRONO, Sepanyol: Chris Froome menyatakan kelebihan 61 saat di depan Vincenzo Nibali menjadi landasan ideal untuk memenangi perlumbaan Vuelta a Espana terutama dengan ujian masa 40km, awal pagi esok.

“Selepas Tour de France, saya berasa amat bagus,” jelas penunggang berusia 32 tahun itu yang menang perlumbaan Tour de France keempatnya Julai lalu namun tidak pernah menjuarai Giro d’Italia atau Vuelta.

“Melihat kepada posisi saya ketika ini, selepas berlumba dua minggu, ini satu senario yang menjadi impian,” katanya pada hari terakhir rehat perlumbaan 21 peringkat itu.

“Saya merancang untuk berlumba lewat musim ini dan menjalani kem latihan khusus bagi Vuelta selepas Tour dan ternyata ia berbaloi.

“Saya fikir kami berada di posisi fantastik.”

“Saya tidak sabar menanti TT (ujian masa). Ia pastinya satu daripada peringkat paling penting yang menentukan pemenang Vuelta tahun ini.”

Ujian masa sejauh 40.2km di kawasan ladang anggur Rioja hampir keseluruhannya landai.

“Ia peringkat yang amat sesuai buat Froome,” kata Alberto Contador, pesaingnya yang kini berada di tangga kesembilan, 3 minit 39 saat di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 12:05 PM