Cardiff, Wales: Pemain remaja Ben Woodburn (gambar) menikmati penampilan antarabangsa pertamanya apabila jaringannya membantu Wales menang 1-0 ke atas Austria di Cardiff awal pagi semalam untuk mencerahkan peluang mereka mara ke Piala Dunia tahun depan.

Penyerang Liverpool berusia 17 tahun itu meledak gol empat minit selepas turun sebagai pemain gantian separuh masa kedua untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Wales dalam kelayakan dan empat mata ketinggalan di belakang pendahulu Kumpulan D Serbia.

Anak buah Chris Coleman turut merapatkan jurang dengan Republik Ireland di tangga kedua yang terikat 1-1 di Georgia, kepada dua mata dengan baki tiga perlawanan dalam usaha mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

“Bola itu datang tiba-tiba dan saya cuba merembatnya sepantas mungkin,” kata Woodburn, selepas menjadi penjaring kedua termuda Wales dalam sejarah pada usia 17 tahun 322 hari di belakang Gareth Bale.

“Ia menyeronokkan, saya tidak mengharapkan lebih banyak daripada peminat. Saya tidak akan tidur malam ini.”

Bale kembali daripada penggantungan di Stadium Principality selepas tidak beraksi ketika seri 1-1 dengan Serbia Jun lalu, juga kali kelima dalam enam kelayakan yang menyaksikan Wales terikat seri.

Woodburn menggantikan Tom Lawrence pada minit ke-69 dan pertaruhan Coleman membuahkan hasil sebaik pemain remaja itu mengawal bola yang ditanduk keluar sebelum merembat melepasi penjaga gol Heinz Lindner dari jarak 25 meter seterusnya mencetuskan sorakan penyokong.

“Perlawanan berlangsung seimbang dan sukar untuk menewaskan Austria tapi pada baki separuh masa kedua, kami terbukti lebih kuat,” kata Coleman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 11:51 AM