ATLET angkat berat negara, Loro Wellkinson Peuji memenangi pingat gangsa bagi kategori bawah 77kg. FOTO Muhaizan Yahya
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tuah menyebelahi atlet angkat berat negara, Loro Wellkinson Peuji apabila kecederaan yang dialami wakil Thailand, Chatuphum Chinnawong membolehkan dia memenangi pingat gangsa bagi kategori 77kg.

Chatuphum diletakkan sebagai peserta pilihan untuk merangkul emas berdasarkan pencapaian menduduki tempat keempat di temasya Olimpik Rio tetapi dia terpaksa menarik diri daripada saingan semalam berikutan kecederaan bahu ketika melakukan percubaan kedua dengan jumlah angkatan 150kg dalam acara snatch.

Pengunduran Chatuphum menyaksikan atlet Indonesia I Ketut Ariana meraih emas selepas melakukan angkatan 147 snatch dan 183 clean and jerk dengan jumlah keseluruhan 318kg.

Perak milik atlet Vietnam, Nguyen Hong Ngoc 307kg manakala Loro ketiga, 295kg.

Bagi Loro, dia mengaku perasaan gementar terlalu menguasai dirinya sehingga gagal untuk memperbaiki catatan terbaik peribadi iaitu 316kg yang dilakukan ketika Kejohanan Asia di Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:44 AM