HAZARD mula berlatih bersama skuad Belgium semalam di Tubeke.
Reuters

BRUSSELS: Eden Hazard mungkin disenaraikan dalam kesebelasan Belgium pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Gibraltar awal pagi Jumaat ini sekalipun dia belum bermain lagi musim ini, menurut jurulatih Roberto Martinez semalam.

Pemain tengah Chelsea itu secara mengejut disenaraikan bagi aksi kelayakan Kumpulan H menentang Gibraltar minggu ini dan Greece Selasa depan selepas menjalani pembedahan buku lali yang dialami ketika tugasan antarabangsa Jun lalu.

Pengurus kelabnya Antonio Conte mengkritik minggu lalu menyatakan panggilan itu satu “kesilapan” namun Hazard berlatih dengan skuad Belgium semalam di Tubeke dan selepas itu Martinez memberitahu wartawan beliau menimbang untuk menurunkan pemain berusia 26 tahun itu awal pagi Jumaat ini.

“Dia menjalani dua sesi latihan setakat ini dan tidak menunjukkan tanda-tanda buruk terhadap kecederaannya. Kami menilai lanjut situasi itu hari ini dan akan membuat keputusan esok.

“Eden menyatakan dia berasa bagus tapi kami perlu mengambil kira dia sudah tidak bermain agak lama.

“Perlawanan menentang Gibraltar mungkin peluang ideal buatnya untuk bermain. Tapi kami perlu mangambil langkah satu persatu dan jika dia bermain 90 minit menentang Gibraltar, maka dia tidak akan beraksi berdepan Greece,” ujar Martinez.

Belgium menjadi hos kepada Gibraltar di Liege dan kemudian bertandang ke Athens untuk bertemu Greece.

Kemenangan dalam dua perlawanan itu akan memastikan tangga teratas buat Belgium dalam kumpulan mereka sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Mereka mendahului dengan 16 mata, empat di depan pasukan tangga kedua Greece.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:13 AM