COUTINHO (dua dari kiri) masih dalam perhatian Barcelona. -Foto EPA
AFP

BARCELONA: Barcelona masih berharap dapat membeli perancang utama Liverpool dari Brazil, Philippe Coutinho, umum pengarah sukan Barca, Robert Fernandez ketika kelab itu memperkenalkan pemain baru Ousmane Dembele yang dibeli dengan harga 105 juta euro (RM536 juta) semalam.

Kelab Catalunya itu mempunyai masa hingga Jumaat ini apabila jendela perpindahan Sepanyol ditutup untuk mencapai kata sepakat membeli Coutinho, yang belum beraksi buat Liverpool sejak menghantar surat permohonan berpindah awal bulan ini.

“Dalam beberapa hari akan datang kami berharap dapat mencapai kata persetujuan dan mampu memperkenalkan seorang pemain baru,” kata Fernandez apabila ditanya mengenai perkembangan rundingan dengan Coutinho.

Barca terpaksa berbelanja saat-saat akhir selepas keputusan Neymar meninggalkan kelab itu dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) awal bulan ini.

Dembele, bayarannya mungkin meningkat kepada 145 juta euro (RM740 juta) bergantung kepada tambahan berkaitan persembahannya, muncul pembelian kelima Barca pada musim panas ini selepas Marlon Santos, Gerard Deulofeu, Nelson Semedo dan Paulinho.

Fernandez mengakui hasratnya untuk membawa masuk dua pemain lagi ke Nou Camp menjelang Jumaat ini.

“Hasrat saya seorang pemain lagi akan hadir, jika boleh dua,” katanya.

Bagaimanapun, Fernandez menegaskan usaha membeli pemain tengah Nice, Jean Michael Seri tidak menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 10:25 AM