JOVETIC (kanan) dijangka akan gunakan jersi no 10 milik Mbappe. -Foto Agensi
AFP

MONACO: AS Monaco melengkapkan perjanjian untuk mengikat penyerang Montenegro, Stevan Jovetic dan dijangka mendapatkan khidmat pemain tengah Belgium, Leander Dendoncker dari Anderlecht, menurut sumber semalam.

Jovetic, kapten Montenegro berusia 27 tahun, yang pernah dipinjamkan di Sevilla musim lalu dari Inter Milan, dijangka menyarung jersi nombor 10 yang digunakan Kylian Mbappe.

Mbappe dijangka melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain secara pinjaman terlebih dahulu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup awal pagi Jumaat ini.

Monaco belum membuat pengumuman rasmi mengenai pembelian Jovetic, yang turut beraksi dengan Fiorentina dan Manchester City sebelum ini.

Sumber rapat kelab itu turut mendedahkan Dendoncker, 22, akan hadir dari Anderlecht, mengikut jejak langkah rakan senegara Youri Tielemans pada awal musim panas ini.

Ejen Dendoncker, yang turut mewakili Tielemans, bertemu wakil Monaco dan Anderlecht di sebuah hotel di negara beraja itu Khamis lalu, pada hari undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Laporan awal membayangkan Monaco akan membayar 21 juta euro (RM107 juta) tidak termasuk bonus buat Dendoncker.

Bagaimanapun, bayaran itu akan dikurangkan jika Soualiho Meite pula berpindah ke Anderlecht.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 9:32 AM