DOVIZIOSO (kanan) ungguli aksi MotoGP Britain sekali gus muncul pendahulu keseluruhan. - Foto AFP
AFP

SILVERSTONE, England: Pelumba Itali, Andrea Dovizioso memenangi perlumbaan MotoGP Britain di Silverstone semalam sekali gus mengatasi Marc Marquez sebagai pendahulu keseluruhan apabila penunggang Sepanyol itu kecewa kerana masalah enjin.

Dovizioso memintas pendahulu Valentino Rossi dengan berbaki tiga pusingan bagi kemenangan kedua berturut-turut selepas MotoGP Austria, dengan Rossi berakhir di tangga ketiga di belakang Maverick Vinales.

Dovizioso melonjak sembilan mata di depan juara bertahan Marquez, yang menyaksikan saingannya berakhir selepas enjin jentera Honda ditungganginya terbakar pada pusingan ke-13 ketika dia menduduki tangga ketiga.

“Saya berusaha 100 peratus bagi dua pusingan terakhir,” kata Dovizioso.

“Saya bukannya yang terpantas tapi saya meletakkan jentera saya di tempat yang tepat dan mampu menang dalam persaingan dengan Maverick.

“Ini satu kemenangan penting. Mendahului kejuaraan, terima kasih kepada pasukan.”

Marquez bermula di petak utama bagi perlumbaan keempat berturut-turut namun penunggang veteran Itali, Rossi, yang beraksi perlumbaan MotoGP ke-300, memecut mengatasinya untuk mendahului selepas selekoh pertama.

Cubaan Dovizioso dan Vinales untuk mengejar Rossi pada awalnya sukar apabila kedua-duanya bersaing sesama sendiri sebelum Dovizioso akhirnya berjaya meninggalkan penunggang Yamaha itu.

Marquez turut memotong Vinales sebelum enjin jenteranya mengeluarkan asap ketika dia cuba mengejar Dovizioso.

Selepas perlumbaan itu, Marquez mengepos dalam Twitter: “Kini masa untuk berfikir secara positif! Tidak sabar menanti perlumbaan berikutnya.”

KEPUTUSAN MOTOGP

1 Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 40:45.496, 2 Maverick Vinales (ESP/Yamaha) +0.114s, 3 Valentino Rossi (ITA/Yamaha) 0.749, 4 Cal Crutchlow (GBR/LCR Honda) 1.679, 5 Jorge Lorenzo (ESP/Ducati) 3.508

Kedudukan keseluruhan:

1 Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 183 mata, 2 Marc Marquez (ESP/Honda) 174, 3 Maverick Vinales (ESP/Yamaha) 170, 4 Valentino Rossi (ITA/Yamaha) 157, 5 Dani Pedrosa (ESP/Honda) 148

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 10:43 AM