Asensio (kiri) jaring dua gol untuk elak kekalahan mengejut di tangan Valencia. -Foto AFP
AFP

MADRID: Real Madrid memerlukan jaringan lewat Marco Asensio sekali gus mengelak kalah mengejut namun rentetan kemenangan mereka ditamatkan Valencia apabila seri 2-2 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Asensio memberikan permulaan sempurna buat tuan rumah selepas hanya 10 minit namun Carlos Soler menyempurnakan gerakan mantap Valencia untuk menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.

Valencia mengejutkan Bernabeu apabila Geoffrey Kondogbia, yang menyertai kelab itu minggu ini secara pinjaman semusim dari Inter Milan, merembat masuk hantaran silang Rodrigo dari penjuru kotak penalti.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan aksi musim lalu, Madrid menyamakan kedudukan apabila Asensio meledak masuk menerusi sepakan percuma tujuh minit sebelum tamat.

Keputusan seri itu menamatkan catatan lapan kemenangan berturut-turut Real sejak Mei lalu dan menyaksikan juara Eropah itu ketinggalan dua mata di belakang musuh Barcelona selepas dua perlawanan La Liga Sepanyol.

“Saya tidak boleh bergembira dengan keputusan ini namun persembahan mereka cemerlang dan kami berhak mendapat keputusan lebih baik hari ini,” kata bos Madrid, Zinedine Zidane.

“Inilah bola sepak, anda tidak boleh sentiasa menang. Kami hilang dua mata, tapi saya amat bangga dengan pemain saya.”

Valencia melalui dua musim hambar, berakhir di tangga ke-12 dalam dua musim terdahulu, namun ada tanda-tanda kebangkitan di bawah kendalian jurulatih baru Marcelino Garcia Toral selepas menang pada hari pertama musim ke atas Las Palmas.

“Ia perlawanan yang menarik untuk ditonton,” kata Marcelino. “Seri keputusan yang adil sekalipun mana-mana pasukan mungkin boleh menang. Saya yakin peminat berbangga dengan pemain mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 9:43 AM