MARCHISIO (kanan) satu-satunya nama besar yang tiada dalam skuad Itali.
AFP

MILAN: Jurulatih Itali, Giampiero Ventura menyenaraikan semua pemain utamanya dalam skuad 25 pemain bagi perlawanan genting kelayakan Piala Dunia menentang Sepanyol dan Israel bulan depan.

Diketepikan selama sebulan kerana kecederaan lutut, pemain tengah Juventus, Claudio Marchisio satu-satunya nama besar yang tiada dalam skuad Ventura menjelang pertembungan menentang Sepanyol di Madrid pada 2 September ini.

Ventura menyambut kepulangan semula penjaga gol Genoa, Mattia Perin selepas pulih daripada kecederaan ligamen lutut yang teruk dialami menentang Juventus musim lalu, sekalipun dia kekal penjaga gol ketiga Itali di belakang nombor satu Gianluigi Buffon dan Gianluigi Donnarumma dari AC Milan.

Sepanyol dan Itali bersaing sengit di tangga teratas Kumpulan G dengan 16 mata daripada enam perlawanan, sesudah seri 1-1 ketika mereka bertemu kali terakhir di Turin tahun lalu.

Itali, juara Piala Dunia empat kali yang tersingkir pada pusingan pertama di Brazil 2014, menanti kunjungan Israel di Reggio Emilia pada 5 September depan.

Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Russia.

SKUAD ITALI

Penjaga gol: Gianluigi Buffon (Juventus), Gianluigi Donnarumma (AC Milan), Mattia Perin (Genoa).

Pertahanan: Davide Astori (Fiorentina), Andrea Barzagli (Juventus), Leonardo Bonucci (AC Milan), Giorgio Chiellini (Juventus), Andrea Conti (AC Milan), Danilo D’Ambrosio (Inter Milan), Matteo Darmian (Manchester United/ENG), Daniele Rugani (Juventus), Leonardo Spinazzola (Atalanta).

Tengah: Daniele De Rossi (Roma), Riccardo Montolivo (AC Milan), Marco Parolo (Lazio), Lorenzo Pellegrini (Roma), Marco Verratti (Paris Saint-Germain/FRA).

Penyerang: Federico Bernardeschi (Juventus), Antonio Candreva (Inter Milan), Stephan El Shaarawy (Roma), Lorenzo Insigne (Napoli), Andrea Belotti (Torino), Eder (Inter Milan), Manolo Gabbiadini (Southampton/ENG), Ciro Immobile (Lazio).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:54 AM