GRACE Wong membuat rekod baru Sukan Sea dalam acara baling tukul besi wanita. -Foto YAZIT RAZALI
BERNAMA

“SAYA sudah lama mengesan potensi Grace dan yakin dia akan menjadi juara suatu hari nanti,” kata bekas jaguh baling tukul besi negara Wong Tee Kue.

Telahan Tee Kue, 53, mengenai potensi anak saudaranya Grace Wong nyata tepat apabila atlet berusia 17 tahun itu berjaya meraih pingat emas dengan memecahkan rekod Sukan SEA selepas melakukan balingan sejauh 59.24m di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Beliau berkata, kejayaan Grace sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa pada Sukan SEA Singapura sebelum ini pastinya mengubat duka pasukan negara yang sudah lama gagal meraih pingat emas dalam acara itu.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana akhirnya Malaysia menang kembali dua pingat emas dan mencipta rekod baru pada Sukan SEA kali ini sekali gus meneruskan kesinambungan kejayaan pasukan negara sebelum ini,” katanya di Kuching hari ini.

Atlet lelaki acara sama, Jackie Wong turut meraih emas selepas memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 65.90m sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun kilauan emas selepas kali terakhir dilakukan Tee Kue pada edisi 2001 juga di Kuala Lumpur.

Tee Kue yang pernah menang lima emas baling tukul besi lelaki pada Sukan SEA antara 1991 hingga 2001 berkata, kali terakhir beliau berjumpa Grace adalah pada April lalu bagi memberi panduan yang boleh digunakan ketika menyertai kejohanan.

Ketika ditanya pendapat beliau mengenai masa depan Grace dan Jackie, beliau berkata, kedua-dua atlet muda itu berada pada kemuncak prestasi dan tidak mustahil untuk mereka menyinar pada kejohanan lebih tinggi termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Beliau berkata, bakat mereka masih boleh digilap kerana sudah memiliki teknik mantap, konsisten dan dengan bimbingan yang diterima ketika ini tidak mustahil akan terus membanggakan negara pada kejohanan akan datang.

“Anda perlu bekerjasama untuk cemerlang. Kedua-dua Thomas Ling (bekas jurulatih Grace di Sarikei) dan Gu Yuan (jurulatih Grace dan Jackie ketika ini) adalah rakan baik saya dan mereka juga sudah banyak menyumbang demi kebaikan sukan ini.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang bekerjasama dan berdoa untuk kejayaan mereka demi pembangunan sukan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Kejayaan Tee Kue, Grace dan Jackie masing-masing berasal dari Sarikei yang terletak kira-kira 270 kilometer dari Kuching pastinya membuatkan ramai yang tertanya-tanya keistimewaan bahagian itu.

Ditanya mengenai perkara itu, Tee Kue berkata, beliau sendiri kurang pasti namun percaya legasi yang ditinggalkannya apabila memenangi lima pingat emas Sukan SEA meningkatkan semangat atlet muda dari Sarikei untuk menyerlahkan potensi sekali gus membuktikan mereka juga mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 11:38 AM