Marquinhos (tengah) harap kelabnya dapat ikat Mbappe sebelum jendela perpindahan tamat. -Foto AFP
AFP

PARIS: Pemain Paris Saint-Germain amat berharap kelab mereka boleh melengkapkan pembelian sensasi mengikat Kylian Mbappe sebelum jendela perpindahan ditutup minggu depan, menurut pertahanan Marquinhos semalam.

Ditanya mengenai potensi bintang muda Monaco berusia 18 tahun itu menyertai mereka selepas menang 3-0 di Parc des Princes, Marquinhos berkata: “Kami memantau di internet dan telefon kami, menanti ia menjadi rasmi.

“Kami tidak tahu lagi. Saya harap ia dimuktamadkan. PSG kelab yang bercita-cita besar dan anda perlukan pemain bagus yang boleh menambah kekuatan.”

Mbappe tidak tampil dalam dua aksi terakhir Monaco susulan spekulasi mengenai perpindahan ke Paris dengan bayaran sehingga 180 juta euro (RM917 juta).

Penyerang kebangsaan Perancis itu, yang berasal dari subbandar Paris, turut kuat dikaitkan dengan Real Madrid namun menyatakan mahu berganding dengan Neymar di PSG.

PSG membayar rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) untuk mengikat Neymar dari Barcelona awal bulan ini.

Rakan sepasukan Mbappe di Monaco, pemain tengah Brazil, Fabiano, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Paris sebelum pasaran perpindahan berakhir hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 7:45 AM