MARCZYNSKI gembira selepas memenangi peringkat keenam Vuelta a Espana.
AFP

SAGUNTO, Sepanyol: Pelumba Poland, Tomasz Marczynski memenangi peringkat keenam Vuelta a Espana semalam ketika Chris Froome mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan.

Marczynski mengatasi rakan senegara Pawel Poljanski dan pelumba Sepanyol, Enric Mas di garisan penamat untuk memenangi peringkat sejauh 204.4km dari Vila Real ke Sagunto dalam masa 4 jam 47 minit 02 saat.

Froome berakhir di tangga kelapan, di samping beberapa pelumba pilihan 26 saat di belakang.

Bagaimanapun, pelumba Britain itu mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu daripada satu saat kepada 11 saat ketika Esteban Chaves melonjak ke tangga kedua selepas peringkat mengaibkan buat Tejay van Garderen.

Pelumba Amerika Syarikat itu mengalami dua kemalangan dan tayar pancit ketika dia hilang 17 saat berbanding pendahulu perlumbaan untuk merudum ke tangga keempat keseluruhan.

“Inilah hari paling sukar Vuelta setakat ini,” kata Froome.

“Pasukan ini bertindak fantastik hari ini dan saya mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana saya masih menyarung jersi merah hari ini. Ia peringkat yang sukar dan ramai yang kehilangan banyak tenaga.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 3:12 PM