KLOPP (kanan) harap diberi kuasa untuk membeli pemain.
AFP

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp melahirkan harapan beliau mempunyai kuasa dalam membeli pemain menjelang minggu terakhir jendela perpindahan sesudah mengemudi Reds kembali ke Liga Juara-Juara.

Liverpool menempah tempat ke peringkat kumpulan buat kali kedua sejak 2010 selepas menang 4-2 ke atas Hoffenheim awal pagi tadi sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 6-3 pada aksi play-off.

Klopp hanya mampu membawa masuk Mohamed Salah, Andy Robertson dan Dominic Solanke ketika pasaran perpindahan setakat ini dan beliau berasakan jumlah itu patut bertambah memandangkan Liverpool kembali dalam kelompok kelab elit.

“Ia satu pengaruh besar dalam pasaran perpindahan, terutama jika anda sering melakukannya,” kata Klopp.

“Jika anda bercakap dengan seorang pemain, terutama pemain yang kami jumpa - kerana kami tidak bercakap dengan pemain yang tidak bagus berbanding pemain kami - mereka kata, ‘Jika anda bermain dalam Liga Juara-Juara, ia pasti menarik kerana kelab ini hebat, pengurus juga bagus’ - semua perkara ini.

“Atau jika anda cuba menyambung kontrak bersama pemain dalam skuad. Mereka berkata, ‘Ya, saya mahu bermain dalam Liga Juara-Juara.’

“Saya sering terfikir, ‘Ia menjadi tugas anda melakukannya bersama kami! Jangan tanya kami untuk melakukannya jadi anda boleh beraksi Liga Juara-Juara. Lakukannya bersama kami.”

“Itulah yang pasukan ini lakukan. Itulah sebabnya saya terlalu gembira mengenainya.”

Dilantik pada Oktober 2015, Klopp gagal mengemudi Liverpool ke Liga Juara-Juara dalam musim sulungnya apabila mereka berakhir di tangga kelapan Liga Perdana namun penamat tangga keempat musim lalu membuka peluang mereka untuk kembali bersaing dalam pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 1:15 PM