FROOME (dua dari kiri) melepasi garisan penamat di tangga ke-14.
AFP

ALCOCEBER, Sepanyol: Chris Froome mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu perlumbaan berbasikal Vuelta a Espana selepas pelumba Kazakhstan, Alexey Lutsenko memenangi peringkat kelima semalam.

Froome melepasi garisan penamat di tangga ke-14 hanya satu roda berbanding musuh lama Alberto Contador kira-kira empat setengah minit di belakang Lutsenko dari pasukan Astana.

Tiga penunggang memulakan saingan hanya dua saat di belakang Froome namun semuanya merudum.

Tejay van Garderen melonjak ke tangga kedua 10 saat di belakang selepas berakhir lapan saat di belakang Froome manakala pelumba Colombia, Esteban Chaves di tangga ketiga 11 saat di belakang sesudah melepasi garisan penamat di samping pelumba Britain itu.

Namun bekas pemenang dari Itali, Vincenzo Nibali dan Fabio Aru kedua-duanya kehilangan masa dengan masing-masing kini berada di tangga keenam dan ketujuh dengan 36 saat dan 49 saat.

Pelumba Sepanyol, David De La Cruz memulakan hari di tangga kedua namun merudum ke tangga kelima 23 saat di belakang.

Walaupun memenangi kejuaraan Tour de France keempat lebih sebulan lalu, Froome tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan ketika pasukan Sky mencipta rentak menuju ke penamat, membolehkannya meraih masa berbanding pencabarnya.

“Saya fikir jika anda berkata pada permulaan peringkat inilah situasinya di penamat, saya pasti bersetuju dengannya,” akui Froome.

“Saya amat bangga hadir dari Tour dalam keadaan yang saya harapkan bagi permulaan Vuelta.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 10:28 AM