CLUCAS kali pertama sertai saingan Liga Perdana Inggeris.
AFP

LONDON: Swansea mengikat pemain tengah Hull, Sam Clucas dengan harga dilaporkan £15 juta (RM82 juta) semalam.

Clucas bersetuju dengan kontrak empat tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu dan dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan Gylfi Sigurdsson yang berpindah ke Everton minggu lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu adalah pembelian pertama pengurus Swansea, Paul Clement sejak Sigurdsson berpindah dengan harga £45 juta (RM246 juta).

Jika Clucas memenuhi insentif dalam perjanjian itu, perpindahannya boleh mencecah £16.5 juta (RM90 juta) yang akan menjadi rekod baru Swansea.

“Kerana latar belakang permainan, saya tidak pernah menyangka akan bermain dalam Liga Perdana jadi saya akan menghargai setiap perlawanan yang saya hadapi,” kata Clucas.

“Sekali anda menikmati pengalaman bermain dalam Liga Perdana, anda pasti mahu kembali.

“Jadi apabila peluang hadir buat saya untuk melakukannya sekali lagi di Hull, saya menerima peluang itu dengan tangan terbuka.”

Clucas menyinar buat Hull musim lalu di sebalik mereka tersingkir daripada liga utama dan tampil tiga kali pada Liga Kejuaraan musim ini sebelum terlepas aksi menentang QPR hujung minggu lalu ketika spekulasi mengenai masa depannya memuncak.

Sesudah dilepaskan oleh Leicester sebagai pemain remaja, Clucas memulihkan kariernya dengan bermain di Glenn Hoddle Academy.

Dia beraksi buat Mansfield dan Chesterfield sebelum menyertai Hull pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 9:32 AM