CAN (dua dari kanan) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan.
AFP

LIVERPOOL, England: Emre Can meledak dua gol ketika Liverpool menewaskan Hoffenheim 4-2 di Anfield awal pagi tadi untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali kedua sejak 2010.

Pemain tengah Jerman, Can menyumbat dua gol dalam 21 minit pertama (m-10 dan m-21) dengan Mohamed Salah (m-18) menjaringkan gol pertama di Anfield berikutan perpindahan dari AS Roma, sebelum pemain gantian Mark Uth (m-28) membalas satu gol buat pelawat.

Bekas pemain Hoffenheim, Roberto Firmino menyempurnakan gol keempat pada babak kedua (m-63) dan tandukan lewat Sandro Wagner (m-79) ternyata tidak bermakna ketika anak buah Juergen Klopp melengkapkan kemenangan agregat 6-3.

“Saya tidak mempunyai kata-kata. Ia menakjubkan,” kata pengurus Liverpool, Klopp. “Ia kerja keras selama 14 bulan dan berasa terlalu mengagumkan.


PEMAIN tengah Liverpool Georginio Wijnaldum (kiri), dan pertahanan Reds Alberto Moreno (kanan) mengekang pemain tengah Hoffenheim Dennis Geiger.

“Satu pujian yang amat besar buat pasukan saya. Mereka beraksi setengah jam pertama yang sempurna. Saya meminta mereka mengingati perasaan ketika mendahului 3-0 pada rehat babak pertama dan kemudian melupakannya.”

Kini tidak tewas dalam 15 perlawanan di laman sendiri menentang kelab Jerman, Liverpool akan mengetahui lawan mereka pada peringkat kumpulan dalam majlis undian di Monaco malam ini, yang menampilkan lima kelab Inggeris buat kali pertama.

Liverpool menyertai Chelsea, Tottenham Hotspur dan Manchester City, yang layak menerusi Liga Perdana Inggeris dan Manchester United, yang kembali ke Liga Juara-Juara dengan memenangi Liga Europa musim lalu.

Liverpool akan melakukan penampilan pertama di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak musim 2014-15, yang mana mereka terkandas di peringkat kumpulan.

“Kami gagal melaksanakan perancangan permainan kami. Kami berlegar-legar bagaikan ayam tanpa kepala,” kata jurulatih Hoffenheim, Julian Nagelsmann.

“Kami bermain lebih baik pada aksi pertama tapi hari ini sebaliknya. Mungkin pasukan ini terlalu emosi. Bagi 30 minit pertama, ada pemain yang seperti tidak berada di tengah padang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 7:44 AM