HASLI Izwan mendapat pingat perak dalam acara 25m rapid fire pistol individu lelaki. -Foto ROSDAN WAHID
Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my


PENEMBAK veteran negara Hasli Izwan Amir Hasan mengakhiri penyertaannya dalam Sukan SEA dengan meraih pingat perak acara 25 meter (m) rapid fire pistol lelaki di Lapang Sasar Menembak Subang, hari ini.

Biarpun sekadar meraih perak, Hasli bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasinya.

“Mungkin ini Sukan SEA terakhir saya kerana mahu fokus kepada kerja dan memberi peluang kepada atlet junior.

“Apapun untuk kejohanan lain seperti Sukan Komanwel dan Asia, saya sedia sertai jika nama saya tersenarai.

“Walaupun mengakhiri Sukan SEA dengan pingat perak, tapi saya tetap berpuas hati. Tembakan saya tidak teruk, tapi penembak Vietnam (Ha Minh Thanh) beraksi lebih baik,” katanya.

Pada final acara berkenaan, Hasli hanya tewas satu mata di belakang Minh Thanh yang mengumpul 25 mata sementara gangsa milik atlet Thailand Pornchai Sukhonpanich dengan 19 mata.

Hasli yang kini sudah berusia 40 tahun pernah memenangi emas pada Sukan SEA 2001, 2005 dan 2007.

Selain Hasli, seorang lagi penembak negara Joseph Lee Joon Kit turut meraih perak dalam acara skeet lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas tewas kepada wakil Thailand Hathaichukiat Jiranunt.

Joon Kit mengutip 48 mata, dua mata di belakang Jiranunt manakala gangsa juga milik peserta Thailand Jangpanich Tanapat (38 mata).

“Saya sedikit tertekan dan hilang fokus pada saat akhir. Apapun saya tetap gembira dengan pencapaian ini kerana ia Sukan SEA pertama saya,” kata Joon Kit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:35 PM