TRIO lelaki negara sumbang emas dalam acara memanah recurve.
BERNAMA

SASARAN empat pingat emas ditetapkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) terhadap skuad memanah negara tercapai apabila mereka keseluruhannya mengumpul lima emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Selain lima emas, skuad memanah turut menyumbang tiga perak dan dua gangsa sekali gus menjadi juara keseluruhan sukan memanah pada aksi di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara yang berlangsung dari 16 hingga 22 Ogos pada Sukan SEA ke-29.

Presiden NAAM Datuk Seri Johari Baharom berkata, ia pencapaian terbaik buat skuad memanah walaupun menyamai pungutan pingat di Singapura dua tahun lalu.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan kali ini kerana ia yang terbaik di Sukan SEA. Walaupun sama dengan pencapaian di Singapura tapi kami mempunyai lebih banyak peluang apabila ramai yang mara ke final.

“Tapi ada juga peluang itu tidak menyebelahi pemanah negara. Lagipun biasalah beraksi di laman sendiri, penonton ramai jadi tekanan juga lebih,” katanya kepada media mengulas mengenai prestasi skuad memanah di KL2017.

Johari berharap pencapaian cemerlang itu menjadi pembakar semangat buat skuad memanah bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Kami akan berbincang mengenai kelemahan yang perlu dibaiki, yang mana latihan perlu dititikberatkan lagi. Saya akan bincang dengan jurulatih serta Majlis Sukan Negara bagaimana nak naikkan prestasi Malaysia supaya berpeluang di Sukan Asia,” katanya.

Tiga daripada lima pingat emas skuad memanah hadir menerusi skuad compound dalam acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita serta berpasukan campuran manakala dua lagi pingat emas menerusi skuad recurve (berpasukan lelaki dan berpasukan wanita).

Untuk rekod, skuad memanah berjaya memecahkan empat rekod kebangsaan serta meleburkan empat rekod kejohanan.

Rekod itu adalah dalam acara compound individu wanita melalui Fatin Nurfatehah Mat Salleh, acara recurve individu lelaki (Khairul Anuar Mohamad), recurve berpasukan lelaki (Khairul Anuar, Haziq Kamaruddin, Muhd Akmal Nor Hasrin) dan recurve berpasukan campuran (Khairul Anuar-Nur Aliya Ghapar).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:13 PM