KONDOGBIA (tengah) ketika sidang media bersama Valencia.
AFP

MADRID: Pemain tengah Perancis, Geoffrey Kondogbia, 24, menyertai Valencia secara pinjaman semusim dari Inter Milan, umum kelab Sepanyol itu semalam.

“Valencia sudah mencapai kata persetujuan bersama Inter Milan untuk meminjam pemain musim ini, hingga 30 Jun 2018, dengan pilihan untuk membeli pemain tengah Perancis, Geoffrey Kondogbia,” menurut Valencia dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pertahanan kanan Valencia, Joao Cancelo dijangka dipinjamkan ke kelab gergasi Itali itu selama semusim.

Kondogbia sudah berpengalaman dalam La Liga selepas musim cemerlang pada 2012-13 bersama Sevilla sebelum berpindah ke AS Monaco.

Selepas membantu kelab Perancis itu layak ke suku akhir Liga Juara-Juara, Kondogbia menyertai Inter dengan harga 40 juta euro (RM202 juta) pada 2015.

Kondogbia boleh melakukan penampilan sulungnya apabila Valencia bertandang ke kelab juara Eropah, Real Madrid di Santiago Bernabeu, Ahad ini.

Valencia memulakan kempen La Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Las Palmas, Jumaat lalu di bawah kendalian jurulatih baru Marcelino Garcia Toral.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 8:05 AM