ROBSON-Kanu (kanan) berkata sesuatu dengan pengadil sebelum dilayangkan kad merah ketika West Brom menang ke atas Burnley.
AFP

LONDON: Penyerang West Bromwich Albion, Hal Robson-Kanu akan menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas Suruhanjaya FA menolak rayuan kelabnya terhadap kad merah diterimanya ketika menang 1-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Pemain kebangsaan Wales berusia 28 tahun itu - dikenali kerana gol menakjubkannya ketika menang pada suku akhir Euro 2016 ke atas Belgium - dilayangkan kad merah secara terus berikutan pergelutan di udara dengan pertahanan Burnley, Matt Lowton.

Robson-Kanu hanya berada di padang selama 22 minit di Turf Moor, namun dia berjaya menjaringkan gol kemenangan 12 minit sebelum dibuang padang.

West Brom merayu dengan alasan Robson-Kanu dibuang padang secara silap namun Suruhanjaya FA tidak bersetuju.

“Pembuangan padang Hal Robson-Kanu di Burnley Sabtu lalu dikekalkan oleh suruhanjaya FA,” menurut West Brom dalam satu kenyataan.

“Albion merayu menentang keputusan pengadil Martin Atkinson melayangkan kad merah berikutan perebutan di udara bersama pemain Burnley, Matthew Lowton.

“Keputusan itu bermakna Robson-Kanu akan digantung bagi aksi Piala Liga Selasa ini (awal pagi esok) di Accrington dan perlawanan Liga Perdana menentang Stoke dan Brighton.”

Robson-Kanu menandatangani kontrak baru bulan lalu, menyaksikannya terikat di kelab itu hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 7:55 AM