KLOPP (tengah) mahu anak buahnya perbaiki mutu permainan.
AFP

PARIS: Liverpool kendalian Juergen Klopp akan cuba menempah tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu ini ketika mereka mempunyai kelebihan 2-1 menjelang aksi kedua play-off menentang Hoffenheim.

Sepakan percuma Trent Alexander-Arnold dan gol sendiri pada babak kedua membantu Reds meraih kelebihan itu di Jerman namun gol lewat Mark Uth memberikan Hoffenheim sedikit harapan sebelum aksi timbal balik di Anfield.

Klopp menggilirkan skuadnya ketika menang 1-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu, melakukan lima perubahan dalam pasukan dengan aksi Eropah awal pagi Khamis ini bermain di fikirannya.

Sudah tiga tahun sejak kelab Anfield itu, yang juga juara Eropah lima kali, beraksi kali terakhir pada peringkat kumpulan pertandingan kelab elit benua itu.

“Persembahan dan keputusan tidak begitu sempurna. Kami masih perlu bertindak lebih baik pada perlawanan ini,” kata Klopp.

Kelab itu juga menolak bidaan ketiga dari Barcelona buat bintang perancang tengah Philippe Coutinho, menolak tawaran yang dilaporkan sekitar £114 juta (RM629 juta).

Pemain Brazil berusia 25 tahun itu sudah menghantar permohonan untuk berpindah namun Liverpool secara terbuka menyatakan Coutinho, ketika ini direhatkan kerana kecederaan belakang, tidak akan dijual pada harga apa sekalipun.

Hoffenheim memulakan kempen baru Bundesliga dengan kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Werder Bremen dan pemain tengah Jerman, Kerem Demirbay masih menaruh harapan mengejutkan Liverpool pada aksi kedua.

“Kami boleh mencatat sesuatu yang luar biasa di sana. Kami boleh mengubah keadaan. Kami akan berhabis-habisan untuk melakukannya,” kata Demirbay, yang menjadi sebahagian daripada skuad Jerman yang memenangi Piala Konfederasi di Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 10:09 AM