ALONSO (tiga dari kanan) menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma.
AFP

LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea mendapat suntikan semangat yang amat diperlukan semalam apabila dua gol Marcos Alonso memberikan mereka kemenangan 2-1 ke atas naib juara tahun lalu Tottenham Hotspur dalam perlawanan ke-50 kendalian Antonio Conte.

Pemain Sepanyol berusia 26 tahun itu meledak gol kemenangan kurang tiga minit sebelum tamat dalam persembahan karakter terbaik Chelsea, selepas mereka terjejas seketika apabila pemain gantian Michy Batshuayi tertanduk masuk ke dalam golnya sendiri lapan minit sebelum tamat.

“Ini tindak balas sempurna pasukan juara,” kata Conte.

“Saya amat gembira dengan kesungguhan mereka merebut setiap bola dan mereka membuktikan kepada saya keghairahan musim lalu masih ada.”

Ketika tiga mata melegakan pasukan Conte - selepas tumpas mengejut 2-3 kepada Burnley di laman sendiri pada perlawanan pembukaan - pendatang baru Huddersfield Town melakar kemenangan kedua dalam dua perlawanan untuk berada di belakang pendahulu Manchester United dengan enam mata.


PENYERANG Spurs, Harry Kane (kiri) dikekang pertahanan Chelsea Andreas Christensen.

Terriers, kelab baru naik liga ketiga menang dua aksi pertama, menewaskan Newcastle 1-0 apabila pemain Australia, Aaron Mooy melakukan sepakan lencong menarik untuk menyumbat gol tunggal pada babak kedua.

Di Wembley, Alonso membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menakjubkan pada minit ke-24 dan ketika Tottenham berusaha mencari gol penyamaan, anak buah Conte tidak bernasib baik meraih gol kedua apabila sepakan Willian terkena tiang gol.

Pasukan Conte dilihat akan membaca lebih banyak tajuk utama negatif apabila Batshuayi, yang hanya berada dalam padang selama beberapa minit, tertanduk sepakan percuma Christian Eriksen melepasi Thibaut Courtois.

Alonso bagaimanapun sekali lagi menyelamatkan pasukannya apabila menyambut hantaran Pedro Rodriguez dan merembat leret melepasi penjaga gol Spurs, Hugo Lloris.

“Menakjubkan dan akhirnya gol di depan penyokong kami sendiri. Tiada apa yang lebih bagus,” kata Alonso, yang berharap menyamai pencapaian datuk dan bapanya mewakili Sepanyol.

“Bagi sepakan percuma itu, saya jarang sekali menjaringkannya ketika latihan apatah lagi dalam perlawanan sebenar,” jelas Alonso, pemain terakhir Chelsea menjaringkan dua gol di laman lawan di Leicester, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 7:25 AM