MOHD JOHARI. -Foto fail
BERNAMA

ACARA memanah recurve yang akan membuka tirai esok berpotensi untuk menyumbang dua lagi pingat emas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) buat negara.

Keyakinan itu dikongsi Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Seri Johari Baharom.

“Berdasar kepada semangat dan kerjasama sepasukan yang amat baik, kami yakin skuad memanah recurve mampu menghadiahkan dua pingat emas untuk negara,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Lima pingat emas menjadi taruhan dalam acara recurve iaitu acara individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.

Malaysia diwakili empat pemanah lelaki iaitu Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin serta empat pemanah wanita iaitu Nuramalia Haneesha Mazlan, Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil dan Loke Shin Hui.

Haziq berkata, dia mahu beraksi sebaik mungkin tanpa meletakkan sebarang sasaran yang boleh mengganggu fokusnya.

“Memang persatuan letak sasaran tapi saya tidak mahu memikirkannya. Saya hanya mahu buat yang terbaik untuk diri saya dan negara,” katanya yang percaya sudah berada pada tahap prestasi terbaik untuk bersaing dalam temasya kali ini.

Pada Sukan SEA Singapura 2015, skuad memanah recurve meraih satu pingat emas melalui acara recurve berpasukan lelaki menerusi gandingan Haziq, Khairul Anuar dan Muhamad Ikram Joni; dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Haziq berkata, walaupun tanpa kehadiran Ikram yang digugurkan dari skuad Sukan SEA berikutan prestasi yang tidak konsisten, mereka tidak terganggu untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan.

“Dalam pasukan ada lapan orang, kami semua berlatih sekali. Walaupun tukar orang memang tak terasa sangat. Cuma harapan saya semua pemanah buat yang terbaik,” katanya.

Acara recurve akan berlangsung dari 20 hingga 22 Ogos di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 9:37 AM