FALCAO (kiri) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto AFP
AFP

PARIS: AS Monaco tidak mengendahkan ketiadaan bintang serangan yang mahu berpindah Kylian Mbappe ketika gol lewat kapten Radamel Falcao membantu kemenangan 1-0 di Metz awal pagi tadi sekali gus menyaksikan mereka memecah rekod kemenangan dalam liga utama Perancis.

Gol Falcao hadir 12 minit sebelum tamat di Stade Saint-Symphorien dan kemenangan itu menjadikannya tiga berturut-turut bagi musim baru buat juara bertahan Ligue 1 kendalian Leonardo Jardim.

Ia juga kemenangan 15 kali berturut-turut sejak Februari lalu ketika Monaco mengatasi catatan terdahulu 14 kemenangan berturut-turut dicatat Bordeaux kendalian Laurent Blanc pada 2009.


MBAPPE (kiri) tidak diturunkan Jardim ketika menentang Metz. -Foto AFP

Mbappe diketepikan terus daripada skuad itu berikutan spekulasi bertiup kencang mengenai masa depannya.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang bertindak cemerlang pada babak kedua musim lalu apabila kelab itu memenangi kejuaraan dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara, mahu berpindah ke Paris Saint-Germain.

Kelab ibu negara itu dan Real Madrid kedua-duanya dilaporkan bersedia membayar 180 juta euro (RM908 juta) bagi mendapatkan khidmatnya ketika mereka mahu menggandingkannya dengan Neymar dan Edinson Cavani di bahagian serangan.

Pemain kebangsaan Perancis itu hanya memanaskan bangku simpanan ketika menang 4-1 di Dijon hujung minggu lalu apabila Falcao meledak hatrik dan pemain Colombia itu sekali lagi menyerlah di sini.

Perlawanan itu, dimulakan dengan bertafakur selama seminit sebagai menghormati mangsa serangan pengganas di Sepanyol, seolah-olah akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sebelum Falcao meledak gol kemenangan pada minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 8:00 AM