LEWANDOWSKI jaring gol ketiga Bayern menerusi sepakan penalti. -Foto EPA
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti babak kedua, yang dihadiahkan oleh video bantuan pengadil ketika juara bertahan Bayern Munich memulakan musim Bundesliga 2017-18 dengan kemenangan 3-1 ke atas Bayer Leverkusen, awal pagi tadi.

Video bantuan pengadil di peringkat ujian dalam Bundesliga musim ini dan digunakan buat kali pertama bagi membuktikan Lewandowski dikasari dalam kotak penalti pada babak kedua.

Penyerang Poland itu mudah menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan Bayern 3-0 di depan pada minit ke-53 selepas pemain baru Niklas Sule (m-9) dan pemain tengah Perancis, Corentin Tolisso (m-18) menjaringkan gol menerusi tandukan pada babak pertama.

Leverkusen berhak membalas satu gol selepas ketinggalan 0-3 apabila penyerang Switzerland, Admir Mehmedi melengkapkan satu gerakan menarik dengan rembatan padu pada minit ke-65.


SULE jaring gol pada aksi pertama bersama Bayern. -Foto AFP

“Ia hari istimewa buat saya - perlawanan pertama bersama kelab baru dan gol pertama saya, ia bagus sekali,” kata Sule.

Pertahanan Leverkusen dan Jerman, Jonathan Tah menyesali persembahan buruk pasukannya pada babak pertama.

“Kami tertidur pada babak pertama dan melepaskan gol bodoh,” kata Tah.

Pada malam pembukaan yang dramatik, permulaan babak kedua ditangguhkan selama 15 minit kerana hujan lebat.

Sesudah memenangi kejuaraan liga Jerman musim lalu - kejayaan kelima berturut-turut - dengan perbezaan 15 mata, kemenangan bergaya di Munich membuktikan Bayern tidak mahu relaks dalam mengukuhkan cengkaman terhadap kejuaraan Bundesliga.

Tuan rumah kehilangan khidmat beberapa pemain bintang yang cedera di Arena Allianz termasuk kapten baru kelab Manuel Neuer, pertahanan Jerome Boateng dan pemain baru James Rodriguez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 7:19 AM