AWALLUDIN mahu manfaat beraksi di gelanggang sendiri.
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my


PEMAIN termuda dalam skuad futsal lelaki, Mohd Awalludin Mat Nawi mengidamkan penampilan sulungnya pada temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) berakhir lebih sempurna dengan meraih kilauan pingat buat negara.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, peluang beraksi di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha menebus kehampaan pada temasya Sukan SEA 2011 dan 2013 yang menyaksikan skuad futsal negara sekadar pulang dengan tangan kosong.

“Kali terakhir skuad futsal meraih pingat adalah pada 2007 dan boleh dikatakan rata-rata rakan sepasukan yang beraksi pada edisi kali ini tidak pernah merasai pingat Sukan SEA.

“Jadi, sasaran peribadi saya adalah untuk meraih pingat pada penampilan pertama saya di Sukan SEA 2017 dan sudah pasti ia akan menjadi satu kejayaan yang besar buat saya jika impian ini menjadi kenyataan.

“Dengan meraih tempat ketiga pada Kejohanan AFF Futsal 2017 dan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kini sudah tiba masanya untuk kami buktikan bahawa kami mampu untuk merangkul pingat emas di bumi sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Dalam masa sama, pemain futsal Perak itu turut mengakui jurang usia tidak akan menjadi penghalang untuk dia memperagakan aksi sebenar pada temasya KL2017 meskipun dikelilingi ramai pemain lebih senior dan berpengalaman.

“Walaupun saya pemain paling muda dalam skuad, namun situasi itu tidak menjadi masalah kerana rakan sepasukan yang lebih senior sering memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada saya.

“Selepas menjalani latihan bersama mereka, saya dapat rasakan banyak perubahan yang lebih positif dalam corak permainan saya,” katanya.

Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu akan membuka kempen bertemu Myanmar pada 18 Ogos ini diikuti Vietnam (20 Ogos), Indonesia (22 Ogos) sebelum membuat perhitungan dengan pencabar terkuat mereka, Thailand (27 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:11 PM