BUSQUETS (kanan) mahu Barca aktif dalam pasaran perpindahan pemain.
AFP

PEMAIN tengah Barcelona, Sergio Busquets mengulangi gesaannya kepada ahli lembaga pengarah kelab itu supaya aktif dalam pasaran perpindahan pemain semalam, namun menegaskan untuk menggantikan Neymar satu misi hampir mustahil.

Ketiadaan pemain Brazil itu ketara apabila Barca tewas 1-3 pada aksi pertama Piala Super Sepanyol di laman sendiri kepada Real Madrid dalam perlawanan pertama kelab Catalunya itu sejak Neymar berpindah ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion).

“Jelas pemergian Neymar pasukan ini kurang menyengat ketika menyerang,” katanya menjelang aksi kedua di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

“Jelas sekali anda menyedari siapa sebenarnya Ney.”

Busquets berkata, berikutan kekalahan Ahad lalu, Barca perlu membeli pemain selepas bidaan awal untuk mendapatkan khidmat pemain Liverpool, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund ditolak minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Sepanyol itu percaya satu-satunya cara untuk mengatasi pemergian Neymar ke kelab gergasi Perancis itu adalah memperkukuhkan skuad Barca secara keseluruhan bukannya mencari pengganti hampir serupa dengannya.

“Siapa saja yang datang pasti disambut baik. Dengan pemergian Neymar ada kekurangan pemain serangan tapi saya katakan sebelum ini untuk lebih baik bermakna meningkatkan tahap semua posisi dan semua aspek.

“Harapnya lebih ramai pemain berkualiti hadir.

“Hanya ada seorang Neymar dan kini dia tidak bersama kami lagi jadi kami perlu memandang ke hadapan dan cuba meningkat sebagai satu pasukan.”

Barca mengikat pemain kebangsaan Brazil, Paulinho sebagai pembelian pertama sejak Neymar berpindah dari kelab China, Guangzhou Evergrande dengan harga 40 juta euro (RM202 juta) Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:12 AM