PEMAIN Liverpool kemenangan ke atas Hoffenheim.
AFP

JUERGEN Klopp menegaskan Liverpool masih belum selamat layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di sebalik kemenangan 2-1 ke atas Hoffenheim di laman lawan pada aksi pertama play-off, awal pagi tadi.

Keputusan di barat daya Jerman itu membantu Liverpool di kedudukan baik menjelang aksi kedua di Anfield pertengahan minggu depan.

Selepas penjaga gol Simon Mignolet menyelamatkan sepakan penalti Andrej Kramaric pada babak pertama, pertahanan berusia 18 tahun Trent Alexander-Arnold melencongkan masuk sepakan percuma untuk membantu Liverpool mendahului 1-0.

Bekas pemain England, James Milner memastikan kemenangan apabila hantaran silangnya menerjah jaring pada minit ke-75 selepas terkena pertahanan lawan Havard Nordveit bagi gol sendiri.

Bagaimanapun, Hoffenheim membalas semula apabila pemain gantian Mark Uth berjaya mengatasi perangkap ofsaid sebelum menjaringkan gol lewat perlawanan sekali gus mencetus harapan buat kelab Jerman itu.

“Saya gembira dengan persembahan ini, kami lebih suka menang 2-0 dan gol yang mereka jaringkan sebelum tamat tidak memudahkan tugas kami,” kata Klopp.

“Kami patutnya menjaringkan satu atau dua gol lagi dan kami perlukan sokongan padu Anfield bagi aksi timbal balik.

“Perkara ini belum berakhir lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 7:34 AM