COUTINHO (kiri) dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.
AFP

Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengakui semalam dia tidak berkuasa mempengaruhi pemikiran Philippe Coutinho, selepas pemain Brazil itu dilaporkan memohon untuk berpindah Jumaat lalu.

Anak buah Juergen Klopp berada di Jerman menjelang aksi pertama play-off Liga Juara-Juara awal pagi esok menentang Hoffenheim dan Coutinho, yang mengalami kecederaan belakang, tidak berkunjung bersama skuad itu.

“Jelas ia satu situasi sukar buat Phil. Apapun yang saya katakan tidak akan membantu tapi sebagai pemain, kami perlu fokus terhadap perlawanan,” kata Henderson pada sidang akhbar menjelang perlawanan itu.

“Sebagai pemain, anda menjangkakan urusan pasaran perpindahan berlaku dan pemain datang dan pergi.

“Sudah tentu, jika anda bertanyakan sesiapapun, mereka mahu Phil kekal kerana dia bertaraf dunia. Saya sudah bercakap dengan Phil, ia rahsia tapi saya tak fikir saya boleh mempengaruhinya.

“Saya rapat dengannya dan saya juga amat menghormatinya, tapi setiap apa yang berlaku tiada kena mengena dengan saya.”

Klopp, yang menegaskan beliau tidak akan memikirkan mengenai Coutinho ketika pemain itu kurang cergas untuk beraksi, kembali ke negara kelahirannya, yang mana beliau membina karier pengurusan ketika mengendalikan Mainz dan Borussia Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 7:48 AM