Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


MENJADI penganjur temasya sukan besar seperti Sukan SEA bukan mudah kerana selain memastikan kebajikan dan kemudahan kontinjen perlu sempurna, persekitaran dan keceriaan bandar raya juga diutamakan demi imej negara.

Ia memerlukan kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi bekerja keras memastikan venue dan persekitaran bandar raya pada tahap maksimum.


Keadaan dalam Stadium Nasional yang diperindahkan. - Foto dan video KHAIRUS RAMLI

Tinjauan Harian Metro di sekitar Kuala Lumpur mendapati tahap persiapan infrastruktur boleh dianggap sempurna menjelang perasmian KL2017 Sabtu ini.

Paling mencuri tumpuan ialah keunikan dan keceriaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang siap dinaik taraf fasa pertama Jun lalu, membabitkan keindahan stadium utama, stadium hoki dan pusat akuatik dengan kos RM499 juta.

Gambar atlet negara bagi hampir semua acara dipaparkan sepanjang jalan besar di depan pintu masuk stadium manakala hiasan lampu LED berwarna-warni di dalam dan luar stadium memeriahkan suasana pada waktu malam.


Suasana Sukan SEA pada waktu malam di Jalan TAR. - Foto dan video KHAIRUS RAMLI

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi mengindahkan Kuala Lumpur, terutama kebersihan serta lanskap.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang lampu jalan dihiasi pelbagai simbolik acara sukan dipertandingkan di KL2017.


Persiapan rapi venue acara angkat berat di MITEC.- Foto dan video KHAIRUS RAMLI

Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang menempatkan venue lapan acara didapati sudah bersedia, termasuk pusat media.

Ruang petugas media yang disediakan kelihatan selesa untuk menampung petugas yang dijangka tiga kali ganda lebih ramai berbanding Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

Lapan acara dipertandingkan di MITEC iaitu tinju, lawan pedang, gimnastik (gimrama), hoki dalam dewan, muay thai, pingpong, bola tampar dan angkat berat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 11:08 PM
Jalan di depan Stadium Nasional Bukit Jalil meriah dengan poster Sukan SEA KL2017. - Foto dan video KHAIRUS RAMLI