PARK memantau atletnya menjalani latihan menembak bagi menghadapi Sukan SEA ke-29 KL2017.
BERNAMA

Petaling Jaya: Ketua jurulatih skuad menembak kebangsaan, Park Sang-soon yakin anak buahnya bakal menyumbang lima atau enam daripada 14 emas dipertaruhkan.

Berasal dari Korea Selatan, jurulatih berusia 58 tahun itu berkata sasaran berkenaan boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa penembak yang mempamerkan persembahan baik dalam beberapa pertandingan seperti Trofi Tun Hanif dan Kejohanan Menembak Kebangsaan selepas menjalani latihan enam minggu di Korea Selatan pada Jun lalu.

“Ini peringkat paling penting untuk penembak mempersiapkan diri, tambahan pula mereka bakal hadapi cabaran getir pada hari pertandingan,” katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang semalam.

Park berkata juara bertahan Thailand dan Singapura menjadi ancaman utama Malaysia untuk meraih keputusan positif tetapi beliau tetap yakin penembak kebangsaan untukmelaksanakan tanggungjawab.

Park yang menerajui skuad kebangsaan sejak November 2016, percaya Thailand akan memberi saingan sengit kepada penembak negara dalam acara raifal manakala Singapura pistol 25m.

Dalam pada itu, penembak raifal kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan yakin kelebihan beraksi di laman sendiri mampu membantunya meraih emas selain memperbaharui rekod peribadi dalam dua acara disertainya 10m air rifle individu dan 50m rifle prone.

“Saya juga lebih bersemangat untuk menghadapi Sukan SEA kali ini walaupun ada sedikit tekanan untuk membuat bidikan yang mantap,” tegas Muhammad Ezuan yang bakal membuat penampilan kali keempat.

Acara menembak akan berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang dari 21-26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 1:12 PM