LIVERPOOL perlu menghadapi aksi play-off selepas duduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris musim lalu.
AFP

JUERGEN Klopp membawa pasukannya Liverpool kembali ke negara asalnya Jerman minggu ini untuk berdepan Hoffenheim ketika mereka menyasarkan untuk kembali beraksi pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Sudah tiga tahun sejak kelab Anfield itu, juara Eropah lima kali, bermain pada peringkat kumpulan pertandingan kelab elit benua itu.

Penamat tangga keempat Liga Perdana Inggeris musim lalu menyebabkan mereka perlu menghadapi aksi play-off yang berliku dan dipertemukan dengan kelab Bundesliga itu bermakna kunjungan ke Arena Rhein Neckar bagi aksi pertama, awal pagi Rabu ini.

Klopp pernah bersama Liverpool di negara kelahirannya sebelum ini, mengemudi kemenangan menentang Augsburg dan bekas kelab Borussia Dortmund dalam laluan mara ke final Liga Europa dua musim lalu.

Mereka turut bermain di Jerman ketika pramusim baru-baru ini, mengalahkan Hertha Berlin dan Bayern Munich.

Reds, yang memulakan kempen Liga Perdana dengan keputusan seri 3-3 di Watford Sabtu lalu, beraksi tanpa Adam Lallana dan Nathaniel Clyne ketika ini namun Roberto Firmino sudah cergas.

Pemain Brazil itu akan berdepan kelab yang mana dia menyerlah sebelum dijual kepada Liverpool pada 2015.

Hoffenheim, dari sebuah kampung dengan hanya 3,000 penduduk di barat daya Jerman, berakhir di tangga keempat Bundesliga musim lalu untuk layak ke Eropah buat julung kali.

Perlawanan menentang Liverpool hadir empat hari sebelum mereka berdepan Werder Bremen bagi aksi pertama kempen Bundesliga kali ke-10.

“Kami akan melakukan apa saja untuk layak. Liverpool pasukan yang luar biasa tapi kami sudah mempunyai idea bagaimana kami boleh meraih keputusan baik,” kata jurulatih Hoffenheim, Julian Nagelsmann, yang baru berusia 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 11:50 AM