MESSI (dua dari kiri) jaring gol tunggal Barcelona.
AFP

REAL Madrid tidak menghiraukan kad merah Cristiano Ronaldo apabila mengatasi Barcelona 3-1 pada aksi pertama Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Ronaldo, yang masuk sebagai pemain gantian babak kedua, dilayangkan dua kad kuning dalam masa tidak sampai tiga minit selepas membantu Madrid mendahului 2-1 ketika berbaki 10 minit.

Bagaimanapun, Real melebarkan kelebihan mereka sekalipun beraksi dengan 10 pemain menerusi rembatan lewat perlawanan Marco Asensio pada minit ke-90.

Terdahulu, sepakan penalti Lionel Messi (m-77) memadamkan gol sendiri Gerard Pique (m-50) ketika Barca gagal meraih suntikan semangat awal musim yang amat diperlukan selepas mereka kehilangan bintang Brazil, Neymar kepada Paris Saint-Germain bagi rekod perpindahan dunia.

RONALDO dilayangkan kad merah selepas sengaja menjatuhkan badan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Madrid bagi aksi kedua di Santiago Bernabeu awal pagi Khamis ini.

Tanpa Neymar, Barca bergelut untuk mencari rentak mereka apabila Gerard Deulofeu tidak menyerlah di posisi sayap kiri di samping Messi dan Luis Suarez di bahagian depan.

Ronaldo, Pemain Terbaik Dunia, dilayangkan kad kuning pertama selepas meraikan jaringannya pada minit ke-80 dengan menanggalkan jersinya.

Tidak sampai tiga minit kemudian dia dilayangkan kad kuning kedua sekali gus kad merah kerana sengaja menjatuhkan badan ketika dicabar Samuel Umtiti dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:17 AM