JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde mahu anak buah catat kemenangan pertama Piala Super Sepanyol.
AFP

BARCELONA menanti kunjungan Real Madrid bagi aksi pertama Piala Super Sepanyol awal pagi Isnin ini dengan memerlukan kemenangan pencetus semangat berikutan penjualan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain.

Di sebalik mengaut 222 juta euro (RM1.1 bilion) hasil penjualan pemain Brazil itu, usaha Barca untuk mencari penggantinya setakat ini tidak berjaya dengan bidaan terhadap pemain Liverpool, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund setakat ini ditolak.

Jurulatih baru Barca, Ernesto Valverde terpaksa berdepan juara Eropah dan Sepanyol itu dengan skuad lebih lemah berbanding skuad yang terlepas kejuaraan La Liga kepada Real musim lalu.

Bagaimanapun, Barca berjaya mengalahkan Madrid tanpa pemain yang digantung ketika itu Neymar pada kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif April lalu apabila Lionel Messi membantu kemenangan menakjubkan 3-2 dengan percubaan terakhir perlawanan.

Kelab Catalunya itu turut menang 3-2 pada aksi persahabatan di Miami bulan lalu pada perlawanan terakhir Neymar.

Anak buah Valverde melengkapkan pramusim yang sempurna dengan kemenangan keempat berturut-turut apabila membelasah Chapecoense 5-0 awal minggu ini dalam perlawanan untuk mencari dana bagi kelab Brazil itu yang kehilangan 19 pemain dan 24 pegawai kelab dalam nahas kapal terbang tahun lalu.

“Kami melalui pramusim yang bagus dan kami hadir pada perlawanan ini dalam keadaan baik,” kata Valverde.

“Tapi Ahad ini (awal pagi Isnin) perjuangan sebenar bermula dengan satu perlawanan kompetitif dan kejuaraan menjadi rebutan menentang musuh utama kami.”

Gerard Deulofeu mengambil alih peranan Neymar di samping Messi dan Luis Suarez di barisan serangan menentang Chapecoense sekembalinya ke kelab itu sesudah beraksi di Everton dan AC Milan.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menggunakan peluangnya dengan dua gol sekalipun hanya beraksi 45 minit.

“Memang menyeronokkan bermain di sini apatah lagi bersama kelompok pemain ini,” kata Deulofeu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 10:08 AM