TIKET juga boleh dibeli dalam talian.
BERNAMA

ORANG ramai yang ingin menyaksikan perlawanan sukan secara langsung pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dinasihatkan supaya membeli tiket lebih awal untuk mengelakkan kekecewaan saat akhir.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam satu kenyataan semalam berkata, ini disebabkan penjualan tiket berjalan pantas yang menyaksikan sesetengah tiket habis dijual sejak ia dilancarkan pada 4 Julai lalu.


PENJUALAN tiket acara badminton dijual dengan pantas.

“Setakat ini, tiket bagi beberapa acara sukan iaitu bola jaring, bola keranjang, pencak silat, taekwondo, renang dan acara akhir bagi futsal dan lumba basikal (trek) sudah habis dijual.

“Dalam pada itu penjualan tiket untuk acara seperti karate, badminton, gimnastik, ragbi, bola sepak serta upacara pembukaan pada 19 Ogos berjalan dengan pantas,” menurut kenyataan itu.

MASOC menyatakan keputusan untuk menjual tiket bagi menyaksikan acara sukan tertentu adalah disebabkan beberapa faktor seperti kapasiti tempat duduk yang terhad di venue tertentu selain mengawal kehadiran penonton serta memastikan keselamatan dan memberi keselesaan kepada penonton di venue pertandingan.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun beberapa acara memerlukan orang ramai membeli tiket, tetapi penonton masih boleh menyaksikan kelompok acara sukan lain secara percuma.

Acara sukan itu ialah akuatik, memanah, bowling, tinju, kriket, lumba basikal, ekuestrian, lawan pedang, golf, hoki, hoki ais, luncur ais, judo, boling ladang, petanque, perahu layar, menembak, skuasy, pingpong, tenis, triatlon, bola tampar, ski air dan papan luncur, angkat berat dan wushu.

MASOC menyatakan tiket akan dijual hingga temasya sukan itu berakhir atau hingga tiket habis dijual.

Orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi Sukan SEA www.kualalumpur2017.com.my atau di stor-stor di venue pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:45 AM