KATERINA (gambar kecil) buat Venus berpeluh.
AFP

VENUS Williams terpaksa menggunakan semua pengalamannya sebelum menewaskan pemain muda Republik Czech, Katerina Siniakova untuk mara ke pusingan 16 terakhir kejohanan WTA Toronto, awal pagi tadi.

Pemain Amerika Syarikat berusia 37 tahun yang juga pilihan kesembilan itu, memulakan karier profesionalnya sebelum Katerina yang berumur 21 tahun lahir.

Venus menang 7-5, 7-5 dalam aksi satu jam 39 minit.

Ia kemenangan memuaskan buat Venus selepas bergelut mencari rentak dalam mematahkan servis Katerina.

Pada satu ketika, Katerina menyelamatkan lapan mata berturut-turut bagi memastikan terus bersaing dengan Venus.

Venus yang memburu kejuaraan ketiga Terbuka Amerika Syarikat bulan depan selepas mara ke final Terbuka Australia dan Wimbledon, kekal tenang berdepan Katerina walaupun banyak melakukan kesilapan.

“Dia bermain baik, begitu kompetitif,” kata Venus. “Saya melakukan beberapa kesilapan tapi saya fikir penting untuk terus bermain dan berharap mendapat beberapa mata.

“Dia memperagakan aksi tenis hebat. Apa yang boleh anda lakukan kecuali terus bermain dan mencuba lagi,” kata Venus yang akan berdepan Elina Svitolina pada aksi 16 terakhir.

Sementara itu, juara Wimbledon, Garbine Muguruza, turut mara selepas menewaskan pemain Belgium, Kirsten Flipkens 7-5, 6-2.

Terdahulu, pilihan utama Karolina Pliskova dari Czech mudah membenam pemain Russia, Anastasia Pavlyuchenkova 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:28 AM