DOLLAH dihukum kerana mengkritik mutu pengadilan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan hukuman penggantungan 18 bulan ke atas pengendali Pahang, Dollah Salleh akan dikurangkan kepada lima bulan dan dijangka berakhir Disember ini.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, Jawatankuasa Rayuan badan induk yang diketuai peguam berpengalaman sudah membincangkan permohonan rayuan berkenaan dan membuat keputusan untuk meringankan beban yang ditanggung Dollah.

“Semua ini (keputusan) di bawah kendalian badan berkecuali yang terdiri daripada sekumpulan peguam. Mungkin, saya rasa Dollah Salleh tidak akan digantung selama setahun setengah (18 bulan).

“Sebenarnya saya dah tahu berapa bulan yang beliau akan digantung. Beliau akan digantung selama 5 bulan saja,” katanya pada sesi bual bicara ‘Face Off’ bersama Presiden FAM di Johor Bharu, kelmarin.

Jelas pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu lagi, denda RM30,000 turut dikurangkan oleh Jawatankuasa Rayuan selain Dollah dibenarkan melatih skuad Tok Gajah cuma tidak boleh berada bersama pasukan ketika perlawanan.

“Beliau akan digantung hanya 5 bulan sehingga Disember, saya rasa bayaran (denda) pun tidak sampai RM30 ribu.

“Selain itu, beliau masih dibenarkan melatih pasukan cuma tidak boleh duduk di bench (kawasan teknikal) saja. Itulah cara pasukan perundangan kami ringankan (hukuman),” katanya.

Sebelum ini, FAM menjatuhkan hukuman berat ke atas bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu apabila digantung 18 bulan serta denda RM30,000 kerana mengkritik mutu pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United, 1 Julai lalu.

Menerusi keputusan yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Pengendali berusia 54 tahun itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan kebenaran badan induk yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik serta reputasi FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 9:38 AM