DAVIES (tengah) ketika berlatih bersama skuad Kim Swee.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Shah Alam: Kehadiran dua tonggak berpengalaman Matthew Davies dan Safawi Rasid dalam skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dijangka memberikan kelainan terhadap persembahan pasukan itu pada saingan Sukan SEA di Kuala Lumpur bermula Isnin depan.

Sering dipanggil menganggotai pasukan senior termasuk membantu skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Myanmar pada Disember tahun lalu, pengalaman kedua-duanya pasti akan ditagih oleh pengendali Datuk Ong Kim Swee bagi memastikan sasaran pingat emas mampu diraih.

Davies, 22, yang dipalit kontroversi susulan keengganan pasukan Pahang melepaskan dirinya dan Nor Azam Abdul Azih menyertai latihan skuad B-22 sebelum ini, mengakui gembira dapat bersama pasukan untuk kali kedua selepas turut beraksi pada temasya sama di Singapura dua tahun lalu.

Katanya, pengalaman yang dimilikinya ketika bersama skuad muda negara ataupun pasukan senior akan dimanfaatkan sebaiknya pada edisi ke-29 itu.

“Saya faham harapan yang diletakkan jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) di bahu saya untuk membantu pasukan, namun saya rasa pemain lain juga mampu memainkan peranan besar.

“Mungkin pengalaman ketika beraksi bersama skuad utama kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini boleh saya gunakan untuk membantu pasukan.

“Sikit atau banyak (pengalaman) tidak penting, apa yang mustahak kami harus bekerja sebagai satu pasukan. Jika kami saling membantu, saya percaya misi meraih pingat emas pasti akan berjaya,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Malaysia yang kali terakhir memenangi ibu segala pingat di Sukan SEA Indonesia pada 2011, diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura, Myanmar, Laos dan Brunei.

Sementara itu, pemain tengah Pulau Pinang, Syamer Kutty Abba dan pertahanan Johor DT, Dominic Tan mungkin diketepikan kerana masing-masing mengalami kecederaan serius.

Dua pemain itu termasuk penyerang Kedah, Syafiq Ahmad tidak berlatih dengan pasukan di Bukit Jelutong, Shah Alam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:28 PM