PEDRO (dua dari kiri) yang dilayangkan kad merah.
Reuters

London: Pengurus Chelsea Antonio Conte menyatakan pasukannya ‘kecewa dan marah’ dengan keputusan pengadil sesudah juara Liga Perdana Inggeris itu terlepas Perisai Komuniti ke tangan Arsenal di Wembley kelmarin.

Jurulatih kelahiran Itali itu yang memulakan musim keduanya di barat London berkata, perlawanan itu terganggu dengan dua tindakan pengadil yang tidak memihak pasukannya yang tewas 1-4 menerusi penentuan penalti.

Pertamanya tindakan pengadil Robert Madley melayangkan kad kuning kepada Willian kerana didakwa menjatuhkan badan biarpun rakaman ulangan mendapati dia ditolak pertahanan Arsenal, Hector Bellerin ketika kedua-dua pasukan masih belum menjaringkan sebarang gol.

Kontroversi kedua tercetus apabila kad merah dilayangkan kepada Pedro Rodriguez yang menjurus kepada gol penyamaan Arsenal.

“Sudah pasti memang amat mengecewakan apabila terpaksa menyudahkan permainan buat kali kedua di Wembley dengan 10 pemain menentang Arsenal,” kata Conte.

“Mula-mula Piala FA, kini Perisai Komuniti,” katanya merujuk kepada Victor Moses yang dibuang padang Mei lalu.

“Ramai memberitahu saya penalti itu patut diberikan dan ia memang mengecewakan tapi kami perlu menghormati keputusan pengadil, cuma kadang kala keputusan mereka membuat anda marah.

“Pengadil cuba menjelaskan tindakannya tapi tiada masa kerana saya mahu bertanya mengenai penalti tapi untuk itu kami perlu menunggu hingga jam 9 malam!

“Kami perlu menerimanya tapi buat kali kedua keputusan kontroversi tidak memihak kepada kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 10:26 AM