ALEXANDRE Lacazette.
AFP

London: Selepas keadaan berlaku tidak seperti yang dirancang, Alexandre Lacazette dan Alvaro Morata akhirnya tidak dapat disenaraikan ketika Arsenal dan Chelsea bertembung pada saingan Perisai Komuniti di Wembley malam ini.

Hampir 14 tahun di Lyon, Lacazette mengambil keputusan untuk berpindah dan dikhabarkan sedia untuk bergandingan dengan rakan sepasukannya di skuad kebangsaan Perancis, Antoine Griezmann di Atletico Madrid.

Bagaimanapun, Atletico dikenakan hukuman tidak boleh membeli pemain hingga Januari 2018 dan pada ketika itulah, Arsenal muncul.

Penyokong Arsenal mengharapkan kelab itu membawa masuk penyerang hebat yang dilihat tidak ada di kelab sejak perpindahan Robin van Persie ke Manchester United pada 2012 dan justeru, mereka mengharapkan Lacazette mampu mengubah keadaan.

Memiliki gerakan penyudah yang baik, pemain berusia 26 tahun itu muncul penjaring terbanyak sejak tiga musim Ligue 1 yang lalu dan meninggalkan Lyon dengan rekod 113 gol sepanjang empat musim.

Lacazette dijangka membentuk gandingan serangan bersama Mesut Ozil dan Alexis Sanchez tetapi pengurus Arsene Wenger mengingatkan bahawa pemain itu memerlukan sedikit masa untuk menemui rentak di London.

“Ada kalanya ia mengambil masa hingga berbulan dan ada kalanya tidak lama,” kata Wenger.

“Apa yang saya nampak, Lacazette cepat belajar dan mampu menyerap tekanan. Tetapi secara keseluruhan, saya jangka dia memerlukan satu atau dua bulan lagi.”

Perpindahan Morata ke England bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi pemain antarabangsa Sepanyol itu pernah dikatakan bakal menjadi pemain Manchester United.

Sebaliknya, United membeli Romelu Lukaku dan Chelsea pula mendapatkan Morata.

Pemain berusia 24 tahun itu akan mengambil alih tempat Diego Costa yang tidak lagi berminat untuk menyarung jersi Blues selepas berbalah dengan pengurus Antonio Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 4:15 AM