Mourinho mahu United cabar dua kejuaraan. FOTO EPA
Reuters

MANCHESTER United sedia menyaingi takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baru dan perlu lebih mantap mencabar gelaran Liga Juara Juara (UCL) kata pengurus Jose Mourinho.

Musim pertama Mourinho di Old Trafford menyaksikan United memenangi Piala Liga dan Liga Europa tetapi menamatkan saingan di tangga keenam EPL tercicir 24 mata di belakang juara, Chelsea.

“Musim ini pasti lebih sukar tetapi saya merasakan kami berada dalam keadaan lebih baik untuk EPL,” kata Mourinho kepada BBC.

“Saya rasa musim ini kami lebih bersedia. Kami berdepan pasukan fantastik, menentang pelaburan yang mengagumkan.

“Saya yakin dengan kumpulan kami ada, semangat kami, ketenangan diri kami dan kebersamaan kami. Saya yakin pemain skuad saya dan kami akan mencuba.”

Media Britain mengaitkan United dengan pemain Chelsea Nemanja Matic dan Tottenham Hotspur Eric Dier sebagai pilihan tengah.

Pemain sayap Inter Milan Ivan Perisic adalah pilihan utama Mourinho untuk memperbaiki bahagian serangan.

United akan memulakan kempen mereka menentang West Ham United pada 13 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 5:35 PM