MORATA (dua dari kiri) teruja beraksi untuk Juve.

London: Pemain baru Chelsea, Alvaro Morata percaya dia ditakdirkan untuk beraksi di bawah pengurus Antonio Conte di kelab yang mampu bersaing dengan kelab elit Eropah.

Morata menyertai Juventus menjelang musim 2014-15, sebalik selepas Conte meninggalkan kelab itu untuk mengambil alih pasukan kebangsaan Itali.

Kedua-duanya kini disatukan di Stamford Bridge dan penyerang Sepanyol itu yakin dia boleh menyesuaikan diri dengan taktik Conte.

“Saya sedar Antonio mahukan saya sebelum ini dan saya juga amat teruja untuk bekerja dengan Antonio dan akhirnya takdir menyatukan kami,” kata Morata.

“Ia mengecewakan pada 2014 apabila beliau menyertai Itali tapi saya beraksi baik dan berdepan musim yang baik di Juventus tapi saya benar-benar mahu bekerja dengan jurulatih ini dan akhirnya saya boleh.

“Saya tahu kerjanya, stafnya. Saya tahu ada banyak taktik dan saya amat sukakan permainan ini dan tahu bagaimana untuk bermain dengan sistem ini.”

Pemain kebangsaan Sepanyol berusia 24 tahun itu menyokong juara Liga Perdana itu untuk bersaing hebat dengan kelab ternama Eropah, termasuk bekas kelabnya Real Madrid, yang memenangi Liga Juara-Juara dua musim berturut-turut.

“Ada ramai pemain bagus di sini dan saya fikir kami boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan tahun ini,” ujarnya.

“Tidak mudah untuk meninggalkan Madrid tapi tidak sukar apabila anda hadir ke kelab seperti Chelsea, bersama pemain ini serta jurulatih ini dan saya fikir kami boleh menentang Real Madrid dan Barcelona dan menang.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:35 AM