Selepas berjaya membuktikan sentuhannya masih mampu membantu skuad tempang, skuad bawah 22 tahun negara (B-22) melakar sejarah baru mara ke Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan, kedudukan jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk bersama pasukan di pusingan akhir itu masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana pengendali berusia 46 tahun itu hanya memiliki baki kontrak hingga hujung tahun ini apabila menandatangani kontrak sebagai jurulatih senior pada Januari 2016 namun diberikan tugas baru membimbing skuad B-22 Mac lalu.

Bagaimanapun Kim Swee tidak mahu memikirkan mengenai isu kontrak itu kerana beliau mahu fokus kepada misi seterusnya Sukan SEA 2017 Kuala Kumpur bulan depan.

“Saya tidak mahu membicarakan hal itu (kontrak), kita harus beri tumpuan kepada Sukan SEA 2017 yang mana kurang sebulan lagi akan bermula. Itu juga kejohanan yang penting,” katanya.

Kim Swee mengambil alih tugas daripada Frank Bernhardt Mac lalu dan berdepan pelbagai masalah untuk mempersiapkan pasukan sebelum ke Bangkok bagi aksi kelayakan Kumpulan H.

Enam pemain tonggak tidak mendapat pelepasan pasukan, latihan hanya lima hari dan ada pemain bergelut dengan kecederaan serta kecergasan kesan aksi tanpa rehat jadual padat Liga Malaysia (Liga-M).

Namun anak buah Kim Swee tetap berjuang untuk muncul juara Kumpulan H hasil dua kemenangan ke atas Indonesia 3-0, Mongolia 2-0 meskipun tumpas 0-3 di tangan pasukan tuan rumah.

“Bagi saya komitmen pemain. Kalau pemain berikan komitmen yang cukup baik, saya percaya kita boleh bertambah baik dan apa yang kita lalui sudah tentu perit tapi kami tetap bersatu sebagai satu pasukan.

“Ini satu permulaan, kita tidak boleh memikirkan terlalu tinggi. Kita perlu beri ruang kepada pemain muda bermain dengan pasukan lebih baik di Asia kerana barisan pemain ini adalah harapan kita bersama skuad senior pada masa depan.

“Saya harap selepas ini kita perlu lebih fokus yang mana kita tahu kita sudah layak lebih awal untuk persediaan sebelum ke China,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan di Bangkok.

“Ini suntikan moral sebelum Sukan SEA dan kita tidak perlu ‘merayakan’ besar-besaran kejayaan ini dan bagi saya, pemain harus terus fokus dengan misi seterusnya,” kata Kim Swee yang pernah membimbing Harimau Muda menjuarai pingat emas Sukan SEA 2011 Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 9:46 AM