Vittel, Perancis: Juara dunia Peter Sagan (gambar) secara sensasi disingkir daripada perlumbaan berbasikal Tour de France kerana menyiku Mark Cavendish ketika pecutan ke garisan penamat pada peringkat keempat, kelmarin.

Bintang pecut Britain, Cavendish dikejarkan ke hospital dengan ambulans kerana kecederaan bahu dan jari selepas terjatuh ke tanah apabila Sagan menolaknya ke kawasan penghadang keselamatan 100 meter menuju ke garisan penamat dalam perlumbaan 207.5km dari Mondorf-les-Bains ke Vittel.

“Kami memutuskan untuk membatalkan penyertaan Peter Sagan daripada Tour de France 2017 kerana dia membahayakan sesetengah pelumba secara serius pada peringkat terakhir pecutan di Vittel,” kata presiden suruhanjaya perlumbaan Philippe Marien.

“Kami menggunakan artikel 12.104 peraturan UCI... yang mana juri perlumbaan boleh memutuskan untuk menentukan seseorang pelumba dibatalkan penyertaannya.”

Terdahulu Cavendish meminta penjelasan daripada Sagan kerana menyikunya yang boleh menamatkan cabaran pelumba Britain itu dalam jelajah, selepas pada 2014 dia mengalami patah tulang selangka.

Cavendish, 31, mengekori rapat pemenang peringkat itu Arnaud Demare dari Perancis apabila Sagan menyikunya dengan kasar, menyebabkan pelumba Britain itu terjatuh ke penghadang keselamatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:14 AM