DARI kiri Amierul Hakimi, Ahmad Khairul Anuar, Danial Amier, Adam Nor Azlin, Syahmi dan Irfan menjalani sesi latihan ringan di kolam renang, semalam.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Shah Alam: Slogan era baru yang dilaungkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nyata indah khabar dari rupa apabila buat pertama kalinya sejarah memalukan tercipta pada hari pertama latihan pusat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dengan hanya enam pemain melaporkan diri.

Situasi suram yang menyelubungi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu disebabkan keengganan beberapa pasukan dan kelab yang tidak mahu melepaskan mereka susulan jadual saingan liga tempatan yang padat sepanjang bulan ini.

Kim Swee nyata kebingungan melihat perkembangan terbaru itu kerana beliau turut memiliki tugas berat untuk memastikan anak buahnya mampu memberi cabaran bermakna pada dua kejohanan utama - Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada 19 hingga 23 Julai ini serta saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, bulan depan.

Menurutnya, ia pengalaman pertama sepanjang beliau bergelar jurulatih skuad kebangsaan sama ada ketika membimbing skuad senior mahupun remaja.

Bagaimanapun, hati dan jiwa pengendali dari Melaka itu masih utuh dan bersemangat apabila beliau tetap melaungkan keyakinan mampu menyediakan skuad terbaik untuk dua kejohanan itu.

“Ini pertama kali berlaku, namun saya lebih suka bersikap positif. Seperti saya katakan, ia amat menyukarkan saya untuk membina atau mengadakan latihan (dengan enam pemain) tapi saya harus mengambilnya secara positif.

“Walaupun ia pengalaman pertama, saya akan cuba sebaik mungkin. Rasanya semua tahu saya sudah melalui banyak peringkat dan juga ujian sebelum ini, tapi saya tidak akan mengalah kerana semuanya demi negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama di Holiday Inn, di sini, semalam.

Daripada senarai 26 pemain yang dipanggil hanya enam melaporkan diri - Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Adam Nor Azlin, Syahmi Safari (Selangor), Danial Amier Norhisham (FELDA United) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Selebihnya akan hadir secara berperingkat bermula dengan pemain T-Team Arif Fadzilah esok diikuti sehari kemudian pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Syazwan Zaipol Bahari.

Pada 9 Julai pula, lima pemain dijangka melaporkan diri membabitkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safawi Rasid dan Haziq Nadzli, Johor DT II, Syazwan Andik Ishak, dua pemain FELCRA FC, N Thanabalan dan Adib Zainudin.

Baki pemain lain dari Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Kelantan dan Pahang pula akan mula menyertai latihan pada 12 Julai ini iaitu sehari sebelum aksi persahabatan berdepan B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam.

“Apa yang saya ada sekarang ini, saya akan teruskan latihan dengan tumpuan kepada kecergasan hinggalah semua pemain dapat dikumpulkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:01 AM